Mengapa Mamalia Laut Seperti Paus Bersaiz Besar?



LAUT biru yang terbentang luas pastinya tersingkap segala macam spesis hidupan air dengan mempunyai keunikan tersendiri termasuk hidupan mamalia yang hidup di dalam air.

Adakah anda mengetahui mengapa mamalia di laut seperti paus, ikan lumba-lumba, anjing laut, singa laut dan dugong memiliki tubuh yang besar?

Menurut ahli biologi evolusi dari Universiti Reading di England, Chris Venditti, saiz badan haiwan adalah satu perkara penting untuk dipelajari.

“Jika anda ingin mengetahui sesuatu dari haiwan, anda harus mengukur tubuhnya kerana ia akan mempengaruhi haiwan lain.

“Apabila anda tahu betapa besarnya haiwan itu, kemungkinan anda akan mengetahui perihal haiwan tersebut seperti bagaimana ia bergerak dan bagaimana sistem metabolisme,” kata Venditti.


Lapor National Geographic Indonesia, mamalia laut bersaiz lebih besar berbanding jenis ikan adalah di sebabkan kemampuan daya mengapung di atas air membebaskan mereka daripada tekanan graviti.

Di samping itu, persaingan dalam mencari makanan di laut juga dianggap sebagai faktor yang dapat meningkatkan saiz mamalia ini.



Namun, penyataan yang lebih tepat mengapa mamalia laut bersaiz besar adalah kerana haba badan diperlukan untuk mamalia tersebut agar ia dapat bertahan untuk kekal hidup.

“Mamalia laut harus ada berat badan dengan makanan yang cukup untuk hasil haba pada badannya yang digunakan demi kelangsungan hidup,” kata ahli ekologi dari Universiti Stanford yang juga ketua penyelidik, William Gearty.


Bagi mengetahui lebih lanjut, Gearty dan kumpulannya telah membuat satu siri model komputer untuk menganalisis faktor-faktor yang mempengaruhi saiz haiwan berdarah panas tersebut.

Hasil analisis tersebut menunjukkan, hidupan mamalia laut mengalami pembesaran dengan lebih cepat hingga mampu mencapai berat sebanyak 500 kilogram.

Faktor air laut yang merupakan konduktor membantu mencepatkan proses penghasilan haba berbanding udara bagi mamalia laut ini untuk cepat membesar. – MYNEWSHUB

0 komentar:

Post a Comment